Thursday 31 May 2012

FALSAFAH PENDIDIKAN


RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat , dan negara.

KANDUNGAN FPK

  1. Pendidikan adalah satu usaha berterusan
Pendidikan merupakan proses yang berlaku dalam diri seseorang bermula sejak dalam kandungan sehingga ke akhir hayat. Pendidikan yang berlaku merupakan proses pemerolehan dan pemindahan secara berterusan melibatkan pengetahuan, nilai murni dan kemahiran.

  1. Memperkembangkan lagi potensi individu
Potensi merupakan bakat, kebolehan atau keupayaan yang ada pada seseorang individu. Pendidikan berperanan memperkembangkan potensi murid  optimum sehingga individu mencapai ke tahap cemerlang. Potensi individu dilihat dari empat aspek iaitu Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek (JERI).

I.              Intelek

Potensi intelek merupakan keupayaan mental iaitu yang berkaitan dengan akal dan daya fikir yang dimiliki oleh seseorang bagi memastikan seseorang itu memperolehi perkara berikut :
       . Mempunyai kemahiran asas  3M
      . Berfikir secara kreatif dan kritis
      . Mendapatkan, meningkatkan dan menyebarkan ilmu
       . Memanfaatkan ilmu untuk diri dan orang lain
Pemikiran kreatif ialah ke arah melahirkan rakyat yang inovatif tetapi kritis dalam menjangkakan kesan dan akibat sesuatu pembaharuan kepada manusia sejagat dan alam agar sesuatu pembaharuan itu tidak membawa kepada kemudaratan dan kerosakan.

ii.            Rohani

Potensi rohani adalah berkaitan dengan jiwa dan kalbu yang melibatkan hubungan seseorang  dengan tuhan. Keteguhan rohani adalah penting bagi melahirkan individu yang murni akhlak dan insaf kepada pencipta.Unsur rohani dikembangkan bagi membentuk individu seperti berikut:
        . Menyedari dan menginsafi adanya Pencipta
       . Menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta
       . Menyedari dan menginsafi tanggung jawab
       . Membentuk akhlak mulia
       . Memupuk dan membina disiplin kendiri

iii.           Emosi

Emosi adalah berkaitan dengan jiwa dan perasaan seseorang. Pembangunan emosi dititikberatkan kerana emosi mempengaruhi seseorang dalam tingkahlaku dan tindakannya . Dalam FPK perkembangan emosi adalah bagi memastikan yang berikut :
    
      . Perasaan tenang dan tingkahlaku terkawal
      . Memiliki dan memupuk perasaan kasih sayang
      . Memiliki semangat kekitaan dan perpaduan
      . Menghargai serta menilai keindahan dan kesenian

iv.           Jasmani

Potensi jasmani merupakan keupayaan psikomotor yang dimiliki oleh seseorang. Ia berkaitan dengan kecergasan fizikal diri manusia. Perkembangan unsur jasmani adalah bagi memastikan seseorang individu berkeupayaan seperti berikut:
       . Menjaga kesihatan badan
       . Melakukan riadah
       . Mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal dan manipulatif
       . Memanfaatkan tenaga fizikal untuk berdikari
       . Menggunakan tenaga fizikal bagi kepentingan rakyat
       . Berusaha meningkatkan daya pengeluaran
Malaysia sebagai sebuah negara yang bakal menjadi negara maju pada tahun 2020 memerlukan rakyat yang cergas , sihat, memiliki kemahiran dan kepakaran untuk terus membangunkan negara dan bersaing di peringkat global.   
          


Friday 18 May 2012

Pantun Melayu


Gegak gempita alunan rebana
Gendang nakhoda merdu paluan
Disingkat kata tercicir makna
Martabat bahasa mana haluan?

Gegak gempita paluan gendang
Seruan nakhoda menjadi azimat
Martabat bahasa akan dipandang
Jika kita indah tersemat

Apa tanda Melayu jati?
Adat dan syariat dipegang mati
Apa tanda Melayu beradat?
Budaya dan bahasa dipegang erat

Supaya Melayu tetap terbilang
Bahasa dan adab wajib disandang
Petua amanah wajib dipegang
Adat lembaga wajib dikenang

Supaya Melayu tetap terpuji
Tunjuk dan ajar pemayung diri
Bila Melayu tidak mahu dikeji
Budaya bangsa hendaklah dikaji
 
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu?
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Hari Ini,
Jalan Ini Pasti Semakin Berliku
Kerana Masa Depan
Belum Tentu Menjanjikan Syurga
Bagi Mereka Yang Lemah Dan Mudah Kecewa
Perjuangan Kita Belum Selesai
Kerana Hanya Yang Cekal dan Tabah
Dapat Membina Mercu Tanda
Bangsanya Yang Berjaya