RUKUN NEGARA
BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak
mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil di mana
kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya
dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan
menggunakan sains dan teknologi moden. MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar
akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut
berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut :
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia
yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat , dan negara.
KANDUNGAN FPK
- Pendidikan adalah satu usaha berterusan
Pendidikan merupakan proses yang berlaku dalam diri
seseorang bermula sejak dalam kandungan sehingga ke akhir hayat. Pendidikan
yang berlaku merupakan proses pemerolehan dan pemindahan secara berterusan
melibatkan pengetahuan, nilai murni dan kemahiran.
- Memperkembangkan lagi potensi individu
Potensi merupakan bakat, kebolehan atau keupayaan yang
ada pada seseorang individu. Pendidikan berperanan memperkembangkan potensi
murid optimum sehingga individu mencapai
ke tahap cemerlang. Potensi individu dilihat dari empat aspek iaitu Jasmani,
Emosi, Rohani, Intelek (JERI).
I.
Intelek
Potensi intelek merupakan keupayaan mental iaitu yang
berkaitan dengan akal dan daya fikir yang dimiliki oleh seseorang bagi
memastikan seseorang itu memperolehi perkara berikut :
. Mempunyai
kemahiran asas 3M
. Berfikir secara kreatif dan
kritis
. Mendapatkan,
meningkatkan dan menyebarkan ilmu
. Memanfaatkan
ilmu untuk diri dan orang lain
Pemikiran kreatif ialah ke arah melahirkan rakyat yang
inovatif tetapi kritis dalam menjangkakan kesan dan akibat sesuatu pembaharuan
kepada manusia sejagat dan alam agar sesuatu pembaharuan itu tidak membawa
kepada kemudaratan dan kerosakan.
ii.
Rohani
Potensi rohani adalah berkaitan dengan jiwa dan kalbu
yang melibatkan hubungan seseorang dengan
tuhan. Keteguhan rohani adalah penting bagi melahirkan individu yang murni
akhlak dan insaf kepada pencipta.Unsur rohani dikembangkan bagi membentuk
individu seperti berikut:
. Menyedari
dan menginsafi adanya Pencipta
.
Menghargai dan mensyukuri pemberian Pencipta
. Menyedari dan menginsafi
tanggung jawab
. Membentuk akhlak mulia
.
Memupuk
dan membina disiplin kendiri
iii.
Emosi
Emosi adalah berkaitan dengan jiwa dan perasaan seseorang.
Pembangunan emosi dititikberatkan kerana emosi mempengaruhi seseorang dalam
tingkahlaku dan tindakannya . Dalam FPK perkembangan emosi adalah bagi
memastikan yang berikut :
. Perasaan
tenang dan tingkahlaku terkawal
. Memiliki
dan memupuk perasaan kasih sayang
. Memiliki semangat kekitaan
dan perpaduan
. Menghargai serta menilai
keindahan dan kesenian
iv.
Jasmani
Potensi jasmani merupakan keupayaan psikomotor yang
dimiliki oleh seseorang. Ia berkaitan dengan kecergasan fizikal diri manusia.
Perkembangan unsur jasmani adalah bagi memastikan seseorang individu
berkeupayaan seperti berikut:
. Menjaga kesihatan badan
. Melakukan riadah
. Mengembangkan bakat dan
kemahiran teknikal dan manipulatif
. Memanfaatkan tenaga fizikal
untuk berdikari
. Menggunakan tenaga fizikal
bagi kepentingan rakyat
. Berusaha meningkatkan daya
pengeluaran
Malaysia sebagai sebuah negara yang bakal menjadi negara maju
pada tahun 2020 memerlukan rakyat yang cergas , sihat, memiliki kemahiran dan
kepakaran untuk terus membangunkan negara dan bersaing di peringkat global.